15 February 2011

Sekapur Sirih Seulas Pinang Dari Pengasas

Sudah hampir 37 tahun usia SGS sejak pertama kali gelanggang pada tahun 1975. Dalam tempoh ini sudah banyak pengalaman kita lalui bersama. Tuduhan berbau fitnah dan tomahan yang datang dari segenap ceruk sama ada dari luar jemaah kita mahu pun dalam kesatuan jemaah sudah biasa kita dengar. Ada juga yang berpengalaman diziarahi Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Agama Islam mahupun Jawatankuasa Kampung datang menyiasat. Namun, semua kejadian demi kejadian ini tidak sesekali melemahkan semangat bahkan dianggap sebagai kayu ukur kepada kematangan kita  menjalankan amanah Allah. Tahniah dan syabas dari saya kepada yang berjaya menempuh senario ini dengan sabar.


Berdasarkan tempoh masa dan jumlah ahli yang semakin bertambah dari pelbagai daerah dan negeri maka saya fikirkan sudah tiba masanya untuk kita wujudkan organisasi secara sah menurut undang-undag negara. Untuk makluman semua yang hadir satu kertas kerja penubuhan Persatuan Seni Gerak Silat Malaysia (PSGSM) telah diusulkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan,Kementerian Dalam Negeri Malaysia pada akhir November yang lepas. Pada peringkat awal kertas kerja ini saya telah meminta beberapa sahabat lainnya menyusun beberapa perkara yang perlu didahulukan dalam hal pendaftaran ini termasuklah jawatankuasa penaja pusat dan perlembagaan PSGSM. Namun, hal ini bukanlah bersifat tetap dan yang pasti ia akan digubal,dirombak,dipinda semula mengikut keperluan PSGSM dalam masa-masa akan datang lain. Sungguh pun begitu saya berasa kagum dengan kewibawaan yang telah ditunjukkan dan saya mengucapkan terima kasih atas ihktiar bersungguh-sungguh mereka.


Hadirin sekalian,
Setiap gerak kerja Islam perlu kepada tanzim yang tersusun. Menolak tanzim bermakna mengajak kepada konsep anarki. Anarki tidak wujud dalam amal islami kerana ia bergantung kepada sikap ‘tak apa’. Sikap seperti inilah yang menyeret umat Islam ke arah perpecahan berkelompok dan membuka ruang kepada wujudnya blok-blok yang berbagai haluan. Allah berfirman dalam surah ali Imran ayat 190 yang bermaksud “sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang itu terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal”. Hal ini juga adalah asas petunjuk Rasulullah s.a.w terhadap tanzim supaya diadakan seorang amil atau ketua dipilih untuk memimpin dan perlu ditaati jemaah. Diriwayatkan Muslim,sabda baginda “Sesiapa yang menarik tangannya dari ketaatan,ia akan bertemu Allah pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada hujah baginya,siapa yang tidak ada bai’ah(ijazah daripada guru)matilah ia seperti bangkai jahiliyah.” Oleh yang demikian ‘sudah terang lagi disuluh’ bahawa peri pentingnya amal Islam itu terletak kepada 2 iaitu tanzim yang tersusun dan ketaatan kepada amil atau ketua selagi ia tidak terkeluar daripada syariat Islam. Maka bertepatanlah masa ini usaha diambil untuk mewujudkan satu organisasi mengikut acuan kita sendiri. Dalam hal PSGSM kita juga mempunyai keunikan tersendiri yang membezakan persatuan kita daripada persatuan yang lain. Sebagai contoh amalan persilatan yang kita amalkan adalah berbeza sama sekali daripada persatuan silat yang lain. Sebelum itu,perlu bagi saya jelaskan tanzim PSGSM adalah berdasarkan kepada 3 iaitu berdasarkan pendekatan ahlul sunnah wal jamaah iaitu tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan dalam pengamalan Islam,bukan mewujudkan retorik agama Islam kedua kerana kita sedia maklum Islam itu sudah cukup lengkap dan bukanlah satu organisasi bermotifkan politik mahupun keuntungan wang. Maka dengan ini saya mahu mengajak semua yang hadir untuk mengenepikan semua sentimen politik dan lahirkan kembali semangat persaudaraan Islam. Tanzim yang sering saya perkatakan ini juga bukanlah bersifat autokratik bahkan inilah tanzim yang kita perlu angkat demi menjaga kelangsungan dan meraikan kembali nilai-nilai Islam yang kita terlepas pandang dek kerana sikap’tak apa’ dan kebanjiran nilai-nilai kebaratan yang masuk oleh kerana pengaruh pemikiran colonial (penjajahan) dan era globalisasi kini. Saya juga ingin menegaskan bahawa PSGSM perlu berpegang teguh dengan ketertinggian Perlembagaan Negara dan Islam sebagai agama rasmi negara.

Hadirin sekalian,
Setelah kita faham dengan baik akan tanzim ini perlulah kita pula menterjemahknnya dalam bentuk praktikal atau perlaksanaan. Justeru itu, saya telah menggariskan beberapa langkah awal dan hala tuju. Hala tuju kita adalah untuk menyatupadukan kembali ahli lama dan baru dalam masa yang sama memantapkan pergerakan. Selain itu,antara langkah awal ialah, penerangan dasar serta sistem PSGSM yang akan diadaptasikan perlaksanaannya kepada semua pemimpin utama pusat mahupun di setiap gelanggang di kawasan masing-masing. Seterusnya penubuhan jawatankuasa di peringkat gelanggang dan di peringkat negeri yang harus dimulakan mengikut apa yang telah diselarasakan. Setelah langkah tersebut dilaksanakan kita akan mula mengorak langkah mengembeling modal insan yang kita ada untuk dimajukan dalam  bentuk-bentuk lain yang sesuai. Saya juga ada menerima cadangan-cadangan dan idea bagi mengemaskini lagi urusan pentadbiran bagi kemudahan semua pihak. Insyaallah perkara ini kita akan laksanakan sedikit demi sedikit secara berperingkat.
 InsyaAllah dengan izin Allah semoga dipermudahkan segala urusan dan semoga kita ditempatkan dibawah payung rahmat-Nya. Saya meminta maaf sekiranya terdapat kesalahan dalam tutur kata. Dengan lafaz bismilahhirahmanirahim saya merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Penajaan ini. Sekian,wabillahitaufiqwalhidayah wasalamualaikum warahmatulahhi wabarokatuh.

2 comments:

  1. Assalammualaikum..boleh ceritakan sejarah asal seni gerak silat di Malaysia tertubuh.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.. Saya pun nak tahu jugak sejarah asal seni gerak silat..

    ReplyDelete